Sokong kawal moral bukan Islam
Author: Ed
by Zainul Rijal Abu Bakar Apr 7, 08 2:52pmResolusi yang dikeluarkan hasil 'Seminar Semakan Semula Korpus Undang-Undang Islam di Malaysia: Keperluan dan Cabaran' antara lain dilaporkan telah mengutarakan cadangan supaya penglibatan bersama antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesuatu kesalahan atau jenayah syariah hendaklah diadili dengan hukuman yang setimpal.
Cadangan ini jika dilaksanakan akan memberi kesan umpamanya dalam kes khalwat - apabila salah seorang pasangannya bukan Islam, maka dia juga hendaklah didakwa dan dijatuhi hukuman sekiranya disabitkan bersalah.
Namun seminar berpandangan pendakwaan tersebut hendaklah dilakukan di Mahkamah Sivil, bukannya di Mahkamah Syariah.
Golongan bukan Islam seperti Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Toa Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain menentang keras cadangan ini dengan mengatakan undang-undang syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam dan menafikan hak orang bukan Islam itu sendiri.
Hakikatnya terdapat banyak cadangan yang telah diketengahkan oleh pakar-pakar perundangan dalam seminar tersebut. Antaranya, memperuntukkan dengan jelas dalam Undang-undang Keluarga supaya hak dan keadilan kepada kaum wanita diambil berat.
Peruntukan mengenai wali hakim, harta sepencarian dicadangkan agar diperkemaskan. Dalam memutuskan nafkah, dicadangkan peruntukan pindaan supaya diwujudkan kaedah penting bayaran iaitu Arahan Tegahan Tenaga (Potongan Gaji Bapa) demi kebajikan isteri dan anak-anak.
Dicadangkan juga agar bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman perlu dipertingkatkan demi menjaga kedudukan dan memartabatkan Mahkamah Syariah sebagai satu sistem perundangan yang dilaksanakan di negara ini seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Ini bertujuan menjamin dignity atau maruah Mahkamah Syariah yang sebelum ini dimomokkan dengan istilah hukuman '356' iaitu maksimum penjara tiga (3) tahun, denda RM5,000 dan enam (6) sebatan.
Terdapat juga pelbagai cadangan lain dikeluarkan dalam seminar itu demi kebaikan semua pihak. Tetapi yang diketengahkan dalam media hanyalah mengenai apa yang disebut oleh yang amat arif Datuk Muhamad Asri Abdullah dalam ucapannya mengenai kaedah mengatasi jenayah khalwat dan zina secara perundangan tetapi tidak menyentuh cadangan-cadangan lain.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong sepenuhnya resolusi yang dibincangkan oleh pakar-pakar perundangan dan syariah tanah air dalam seminar tersebut.
Pakar-pakar yang mahir dalam bidang masing-masing ini sudah tentulah mengambil kira semua sensitiviti dan kedudukan undang-undang sebelum menggarapnya sebagai cadangan.
Sebenarnya tidak timbul isu mengenakan atau menguatkuasakan undang-undang syariah ke atas orang bukan Islam kerana pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sivil.
Bukankah salah satu teras negara yang termaktub dalam Rukun Negara ialah kesopanan dan kesusilaan? Oleh yang demikian, undang-undang moral boleh digubal bagi menangani masalah moral masyarakat.
Apakah kita lupa bahawa membina masyarakat bermoral dan berakhlak mulia merupakan prinsip asas kenegaraan ini?
Lantaran jika kita ingin menghapuskan undang-undang moral maka prinsip kelima Rukun Negara ini pun hendaklah ditiadakan.Jika kita menelusuri sejarah dan hakikat undang-undang jenayah pun, kita akan dapati bahawa undang-undang jenayah ini sebenarnya berakar-umbi daripada undang-undang moral.
Undang-undang sebenarnya bersandarkan moral, manakala moral pula bersandarkan kepada agama. Umpamanya kesalahan membunuh secara tidak sah, sebelum ia diperundangkan atau ditaqninkan menjadi undang-undang jenayah, membunuh adalah kesalahan moral yang amat dibenci oleh masyarakat.
Secara hipotetikal pula, sekiranya undang-undang moral ini dihapuskan, apa yang akan berlaku jika terdapat orang yang melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan mata kita atau keluarga kita? Biarkan sahaja mereka dengan hak asasi mereka? Biarkan sahaja anak-anak kita menonton aksi tidak bermoral itu?
Apa yang hendak kita lakukan dalam keadaan kita tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mencegahnya? Jika ia merujuk kepada isu hak asasi pelaku tersebut, bagaimana pula dengan hak asasi kita yang jijik terhadap perbuatan tersebut. Apakah hak kita untuk hidup dalam tenang tanpa melihat perbuatan seperti itu?
Jika kita bercakap tentang hak orang bukan Islam untuk melakukan khalwat, berzina dan sebagainya, adakah mereka ini mempunyai hak untuk melanggar undang-undang syariah? Sekiranya salah seorang pasangan (yang terlibat dengan khalwat) adalah bukan Islam, maka adakah mereka mempunyai hak untuk berzina sehingga melahirkan anak-anak luar nikah tanpa didakwa?
Apatah lagi dalam perkembangan dewasa ini, kelahiran anak luar nikah begitu berleluasa dan menimbulkan permasalahan lain kepada negara. Malah dalam beberapa agama selain Islam juga telah meletakkan perzinaan adalah suatu kesalahan yang berat.
Kenapa pula kita sering mengamalkan double standard terhadap Islam? Apabila ia tidak berkaitan dengan Islam, kita amat mudah menerimanya tetapi tatkala nama Islam muncul maka kita resah, menentang dan menyangkal tanpa memberikan justifikasi yang adil terhadap Islam.
Umpamanya, sekiranya seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung pergi ke Sabah atau Sarawak dan di sana beliau telah melakukan suatu kesalahan yang melanggar undang-undang adat peribumi Sabah dan Sarawak. Orang ini akan tetap dihukum melalui undang-undang adat tersebut walaupun beliau berasal dari Semenanjung. Ini tidak bermakna kita menjadikan beliau sebagai peribumi Sabah dan Sarawak. Begitu juga perbandingannya bagi undang-undang Islam dalam aspek yang terlalu sedikit ini, tidak bermakna menjadikan mereka orang Islam.
Pengenaan tindakan terhadap orang bukan Islam dalam hal yang berkaitan dengan orang Islam adalah kena pada masanya bagi mengelakkan keresahan di kalangan orang Islam sendiri. Ia sebenarnya langsung tidak memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Malah ia selari dengan Rukun Negara menekankan peri pentingnya kesopanan dan kesusilaan disemat di dalam diri setiap warganegara Malaysia. Ia adalah jati diri rakyat Malaysia.
Cadangan seminar ini juga tidak berkaitan dengan persoalan Perlembagaan Persekutuan kerana orang bukan Islam ini dicadangkan akan didakwa di mahkamah sivil, bukannya di mahkamah syariah.PGSM mendesak agar semua pihak berlaku adil ketika memberi pendapat dan tidak membuat serangan melulu tanpa justifikasi yang wajar terhadap Resolusi Seminar Penyemakan Korpus Undang-undang Islam yang telah diisytiharkan itu. Zainul Rijal Abu Bakar ialah presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Artikel ini berdasarkan teks lengkap kenyataan media beliau hari ini